Bolehkah Pelabur Mengeluarkan Wang Yang Dilaburkan & Bagaimanakah Caranya?

May 4 2009 0 Comment

Artikel ini ditulis bagi menjawab soalan yang sering ditanya oleh prospek yang saya jumpa. Walaupun ia mungkin dirasakan agak remeh oleh sesetengah pihak, tetapi diharap ia dapat membantu memberi maklumat kepada para pelabur dan juga individu yang ingin mendapatkan maklumat berkenaan Pelaburan Unit Amanah.

1. Bolehkah Pelabur Mengeluarkan Wang Yang Dilaburkan?

Anda boleh mengeluarkan atau menjual semula pelaburan anda pada bila-bila masa. Nak keluar sikit boleh, nak keluar banyak boleh, nak keluarkan kesemuanya pun boleh.

Jikalau anda cuma mahu mengeluarkan sebahagian sahaja daripada jumlah pelaburan anda, pastikan anda meninggalkan baki sejumlah RM1000 di dalam akaun pelaburan anda. Ini adalah untuk memastikan akaun pelaburan anda terus aktif.

Jika anda mengeluarkan kesemua pelaburan anda, maka akaun pelaburan anda dikira sebagai tidak aktif dan akan ditutup selepas jangkamasa tertentu. Namun begitu, anda boleh melabur semula pada bila-bila masa dengan membuka akaun pelaburan yang baru.

2. Bagaimana Cara Mengeluarkan Wang @ Menjual Semula Pelaburan Anda?

Di Public Mutual, anda boleh menggunakan beberapa cara seperti di bawah:

1. Anda terus pergi ke Agensi Public Mutual yang berdekatan dan mengisi borang jualan semula (Repurchase Form).
2. Anda berjumpa dengan Konsultan anda dan mengisi Repurchase Form. Seterusnya Konsultan anda akan membantu anda untuk menghantar borang tadi ke Agensi Public Mutual yang berdekatan.
3. Jika anda berdaftar dengan TeleMutual (Untuk menggunakan khidmat ini, anda perlu mengisi borang TeleMutual terlebih dahulu), anda boleh terus menelefon TeleMutual. Sebelum membuat sebarang pertanyaan atau arahan penjualan, anda perlu memasukkan No IC dan No Pin anda.

3. Bagaimanakah Public Mutual Membayar Wang Pelaburan yang Dikeluarkan?

Di dalam Repurchase Form, anda boleh memilih untuk mendapatkan semula wang anda melalui 3 cara di bawah:
1. Public Mutual terus mendebitkan wang anda ke akaun Public Bank atau Maybank anda
2. Public Mutual menghantar cek berpalang di atas nama anda ke Agensi yang berdekatan. Cek ini boleh diambil oleh anda atau Konsultan anda. Walaupun ianya diambil oleh Konsultan anda, anda tidak perlu risau kerana cek ini hanya boleh ditunaikan ke dalam akaun bank anda sahaja.
3. Public Mutual menghantar cek kepada anda melalui perkhidmatan kurier.

4. Berapakah Tempoh Masa Untuk Pelabur Mendapat Wang Pelaburan Mereka?

Setelah membuat arahan pengeluaran (samada dengan mengisi Repurchase Form ataupun melalui perkhidmatan TeleMutual), Public Mutual akan mengeluarkan cek dalam masa 3-4 hari dan mendebitkan wang ke akaun pelabur di dalam jangkamasa 5-7 hari.




Leave a Reply